What's Time Now?

Follow me and I'll follow u back (just inform k)

Sudut Pidato hidup semula

BANGI: Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam.

Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.

 Sempena pelancarannya yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiga pelajar diberi peluang untuk berpidato, masing-masing selama lima minit.

Mereka ialah Izzat Fathi Hisham, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sains Sosial, Adlin Noramirah Mohamed, 19 (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan) dan Syamimi Ab Rahman, 23 (Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam).

Ketiga-tiganya menyentuh isu keusahawanan dengan Izzat mengaitkan masalah pengangguran di kalangan graduan dengan menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada sikap pelajar yang lebih selesa makan gaji atau sistem pendidikan di universiti sendiri.

Sudut Pidato menjadi pentas popular untuk menyuarakan pandangan di kalangan mahasiswa pada 1960-an hingga 1970-an, sebelum diharamkan selepas pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Februari tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik larangan itu menerusi pindaan semula AUKU, tetapi sejak itu belum ada universiti melaksanakannya. Dilema sudut pidato turut menjadi fokus dalam Varsiti � sisipan terbaru Berita Harian pada edisi sulungnya, semalam.

Pada sidang medianya selepas melancarkan Sudut Pidato UKM, Mohamed Khaled berkata, IPT lain mungkin masih menunggu permohonan daripada penuntut masing-masing untuk memperkenalkan sudut itu.

Beliau bagaimanapun, berharap sudut itu menjadi medan terbaik bagi membangunkan kemampuan dan sikap bertanggungjawab pelajar, terutama dalam melontarkan pandangan serta mengupas pelbagai isu secara kritis dan intelektual.


"Kementerian tidak menetapkan garis panduan kepada penuntut dalam menggunakan sudut itu, sebaliknya menyerahkan kepada pentadbir IPT. Kita juga memberi kebebasan kepada pelajar dalam menyuarakan pandangan mereka, asalkan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.

"Apa yang penting, penuntut perlu bertanggungjawab dengan apa yang disuarakan kerana orang lain mendengar, melihat dan menyaksikan mereka.

"Saya juga tidak ada masalah sekiranya mereka berbeza pendapat dengan saya tetapi matlamatnya sama iaitu untuk kebaikan," katanya yang turut merasmikan Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) UKM. Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menerima memorandum daripada sekumpulan pelajar Kolej Kediaman Pendeta Zaaba yang membantah tindakan tidak profesional pengurusan kolej, antaranya menaikkan yuran yang didakwa membebankan pelajar.

Mohamed Khaled bagaimanapun, menegaskan orang luar tidak dibenarkan menggunakan sudut itu kerana ia khas untuk penuntut.

"Mengapa perlu orang luar datang bagi memimpin penuntut, sebaliknya mereka perlu menjadi ketua," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menubuhkan Unit Keusahawanan di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Kolej Komuniti dan Jabatan Politeknik dalam usaha mewujudkan nilai, budaya dan pemikiran keusahawanan di kalangan penuntut IPT.

"Saya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya peruntukan RM20 juta yang dikhususkan untuk melaksanakan program keusahawanan di kalangan penuntut IPT di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dulu disalurkan kepada kementerian untuk menjayakan program ini," katanya.

Category:  
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails