What's Time Now?

Follow me and I'll follow u back (just inform k)

Tiga inisiatif utama tingkat UPSI

Oleh Ihsan Noorzali
bhvarsiti@bharian.com.my

WARGA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digalak membudayakan inovasi dan kreativiti dalam semua aspek bagi melonjak kecemerlangan universiti.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Aminah Ayob, berkata tiga inisiatif utama akan dilaksana di UPSI bagi menjayakan hasrat itu iaitu Inovasi Teknologi, Sosial dan Nilai.

Inovasi Teknologi, katanya, membabitkan proses meningkatkan kecekapan sementara Inovasi Sosial untuk kebaikan masyarakat serta Inovasi Nilai untuk memberi nilai yang lebih baik sekali gus meningkatkan kualiti.

“Pembudayaan inovasi dan kreativiti di UPSI selaras hasrat Perdana Menteri yang mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi.

“Antara lain, UPSI kini mengusahakan pelaksanaan E-Urusan mengikut peraturan dan prosedur kerja ISO 9001:2008 sebagai inisiatif inovasi dalam tadbir urus bagi tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor bertema ”Budaya Inovasi Menjana Kebitaraan” di Dewan SITC, UPSI Tanjung Malim, baru-baru ini.

Aminah berkata peningkatan kualiti pendidikan guru akan terus dilaksanakan antara lain dengan mewajibkan mereka menjalani modul Bahasa Inggeris Komprehensif dan kursus Bahasa Inggeris Immersion supaya graduan universiti itu mempunyai tahap penguasaan lebih tinggi bagi bahasa antarabangsa berkenaan.


 
Suasana di hadapan pintu utama Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Beliau turut mengingatkan pensyarah supaya memberi fokus kepada pembelajaran, bukan pengajaran saja dengan memperbanyakkan tutorial, mementingkan interaksi dalam kumpulan kecil bagi membina kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan dan kemahiran sosial.

“Langkah seumpama ini diharap dapat menghasilkan graduan UPSI yang lebih berkualiti, cekap mengajar, berilmu tinggi, pandai bermasyarakat serta global tetapi pada masa sama mempunyai semangat patriotik,” katanya.

Category:  
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails