What's Time Now?

Follow me and I'll follow u back (just inform k)

Motivasi dan minat pengaruhi tindakan

REFLEKSI Oleh DR. ISMAIL ZAIN


MOTIVASI dan minat merupakan dua aspek ciri dalaman seseorang individu yang mampu mempengaruhi tindakan. Gabungan kedua-dua aspek ini membolehkan seseorang individu itu menghadapi cabaran dengan lebih berani, berkeyakinan dan bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun ciri-ciri dalaman ini bukanlah sahaja boleh dipupuk secara semulajadi tetapi harus mempunyai daya penggerak melalui rangsangan. Rangsangan inilah yang boleh menimbulkan minat, menggerakkan semangat dan menjana minda ke arah mencapai destinasi yang dihajati.

Dalam hal ini pelajar-pelajar harus mencari rangsangan tersebut yang boleh merupai nasihat, pengalaman, tontonan, lawatan sambil belajar, informasi, kursus atau penglibatan diri dalam satu-satu aktiviti penyuburan diri.

Bak kata pepatah Melayu ”tak kenal maka tak cinta” begitulah juga dengan perkara ini. sebagai contoh seseorang pelajar yang mengikuti taklimat tentang sesuatu bidang kerjaya melalui lawatan atau penglibatan secara langsung di lapangan akan mendapat maklumat secara lebih mendalam dengan merasai sendiri keseronokan bidang kerjaya tersebut.

Dengan itu besar kemungkinan akan mendatangkan kesan yang positif terhadap minat dan motivasi dirinya terhadap bidang kerjaya tersebut.

Oleh yang demikian pelajar seharusnya mengikuti pelbagai program yang mampu menimbulkan minat dan menggerak motivasi diri dalam penentuan masa hadapan pelajar. Dalam kursus-kursus atau kem motivasi yang menumpukan perhatian terhadap kemahiran belajar, kemahiran berkomunikasi dan pemilihan kerjaya, pelajar harus mengambil peluang untuk turut serta.

Penyertaan bukan sekadar memenuhi kehendak ibu bapa atau hanya untuk memenuhi masa lapang sahaja, tetapi perlu mempunyai matlamat dan penglibatan yang menyeluruh.

Oleh yang demikian pelajar memanglah digalakkan menyertai pelbagai program penyuburan diri terutama sewaktu cuti persekolah. Anda juga harus bijak memilih program-program tersebut berdasarkan beberapa kriteria yang terkandung dalam senarai semak seperti berikut:

• Adakah objektif program tersebut memenuhi bidang pelajaran
• Adakah badan pengajuran tersebut mempunyai fasilitator yang profesional yang berkaitan dengan bidang pendidikan.
• Adakah aktiviti yang dijalankan itu memenuhi kehendak pendidikan masa kini.
• Sejauhmana aktivit-aktiviti yang dijalankan dapat melibatkan keseluruhan peserta kursus.
Manakala peranan anda ketika mengikuti kursus tersebut perlulah memenuhi beberapa kriteria berikut:
• Penumpuan terhadap input kursus
• Penglibatan diri secara menyeluruh dalam aktiviti yang dijalankan
• Penampilan diri dalam diskusi dan persembahan
• Interaksi dalam aktiviti sosial
• Toleransi dalam kumpulan

Dengan memenuhi kiriteria di atas maka kursus atau aktiviti yang anda ceburi sebagai salah satu kegiatan luar bilik darjah mampu menjadi nilai tambah terhadap pembelajaran di bilik darjah serta sekali gus meningkatkan minat dan motivasi diri dalam proses pembelajaran menuju kejayaan.

Portal Pendidikan Utusan  
6/10/2009

Category:  
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails